fbpx

Liga Super: Tidak disiplin punca Sri Pahang tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Benteng Sri Pahang gagal memberi tumpuan penuh sehingga dibolosi dua gol selepas tewas 0-2 kepada Kedah Darul Aman FC malam tadi. - Foto ihsan Facebook Sri Pahang

ALOR SETAR – Kegagalan para pemain Sri Pahang FC untuk mengekalkan disiplin terutama membabitkan pelaksanaan taktikal dirancang, menjadi faktor utama pasukan itu dihukum Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika tewas 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Menurut ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad, anak-anak buahnya dilihat seakan ketinggalan dalam semua aspek kepada Sang Kenari dalam perlawanan itu menyebabkan pasukan tuan rumah boleh bermain secara selesa di depan penyokong sendiri.

Jelasnya, para pemain gagal mengikut arahan agar kekal kompak ketika pasukan lawan mendapat bola dan melakukan serangan, selain lambat memberi sokongan ketika mereka mara menuju ke pintu gol lawan.

“Apabila kita bergerak, cuma pemain penyerang dan satu atau dua pemain tengah saja yang bergerak ke depan. Para pemain yang berada di bahagian belakang terutamanya agak lambat untuk datang memberi sokongan.

“Tetapi apabila kita kehilangan bola, masing-masing yang sudah naik ke atas itu tidak pula balik ke kawasan masing-masing untuk membantu bertahan. Ini soal disiplin dalam taktikal dan apabila perkara itu tidak diberi keutamaan, maka anda dapat melihat bagaimana KDA FC mendominasi babak pertama dan mereka cukup ‘sedap’ bermain,” katanya selepas perlawanan semalam.

Mengulas lanjut Fandi berkata, kejadian seperti itu bukanlah sesuatu yang sering berlaku terhadap pasukannya namun semalam, ia kelihatan begitu ketara.

“Mungkin juga pemain kepenatan kerana selepas mengharungi saingan Piala Malaysia di Negeri Sembilan, kami terus melalui perjalanan panjang ke Kedah. Apatah lagi pada musim ini, kami banyak menggunakan pemain sama akibat masalah kecederaan yang melanda sehingga ada kalanya menjejaskan empat atau lima pemain.

“Tetapi perlu diakui, KDA FC jelas lebih baik dalam perlawanan ini. Ketika ini juga kami tidak dapat menggunakan khidmat Lucas dan Rafael Silva yang masih berdepan isu kecergasan serta kesihatan. Keadaan itu menyebabkan penyerang utama, Kpah Sherman bagai keseorangan di depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI