fbpx

Liga Super: Sang Kenari makin terbang tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ifedayo berjaya jaringkan satu gol untuk menewaskan Sri Pahang pada aksi Liga Super semalam. - Foto ihsan Facebook KDA FC

ALOR SETAR – Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menyifatkan kalangan pemainnya berjaya kembali menampilkan karakter sebenar yang diperlukan oleh sesebuah pasukan ketika menundukkan Sri Pahang 2-0 di laman sendiri di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Menurutnya, karakter ditampilkan mereka jauh berbeza berbanding ketika pasukan bimbingannya itu tunduk 3-1 kepada Perak FC di Ipoh, Perak minggu lalu.

“Saya lihat malam ini kita bermain dengan karakter dan mentaliti berbeza dengan para pemain amat menyedari akan kepentingan bermain baik ketika bertemu Sri Pahang,” katanya selepas perlawanan itu pada semalam.

Dalam perlawanan itu, KDA FC jelas mengatasi Tok Gajah dari segala aspek dengan dua gol mereka dihasilkan oleh Ifedayo Olusegun serta J. Partiban pada minit ketiga dan 41.

Katanya, kelebihan pasukan lawan yang dilihat memiliki pemain berkualiti selain mata diperoleh juga sama berjaya membangkitkan karakter diperlukan dalam diri pemain Sang Kenari.

“Karakter yang saya maksudkan adalah daripada aspek kerja keras, intensiti serta kemahuan ditunjukkan pemain. Mereka tidak lagi menampilkan aksi seperti sebelum ini yang terlalu membuka ruang sehingga memudahkan kerja lawan.

“Sebenarnya kami membuat persediaan seperti biasa tetapi karakter ini hadir dari dalam pemain itu sendiri. Perkara itu hadir apabila seluruh fokus diletakkan kepada perlawanan dan diterjemahkan di atas padang,” ujarnya.

Sementara itu Nafuzi berkata, persoalan mengenai keupayaan KDA FC untuk mengatasi Selangor FC bagi berada di kedudukan kedua liga selepas ini, katanya, ia bergantung kepada kehendak dan usaha pemain sendiri untuk membaiki segala kelemahan yang ada.  

“Sekarang ini masih ada lapan perlawanan perlu dilalui dan kalau menang semua itu, mungkin tempat kedua akan menjadi milik kami.

“Apatah lagi Selangor sudah melalui 20 perlawanan sedangkan kami cuma 19. Jadi peluang itu ada cumanya ada cabaran besar perlu dilalui kerana lawan kami selepas ini melibatkan pasukan-pasukan kuat seperti JDT, Kuala Lumpur dan Penang FC,” jelasnya.

Selain itu katanya, beberapa kelemahan terutama di barisan pertahanan perlu dibaiki bagi memastikan Sang Kenari terus mampu mencatat kemenangan selepas ini.

“Kita bertahan dengan baik dalam kebanyakan masa, namun dalam sesetengah keadaan pula, ada masanya barisan pertahanan kita tampak agak longgar. Jika kita mahu pergi jauh dan berhasrat untuk kekal di kedudukan teratas, perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI