SILVERSTONE – Kontroversi melibatkan peraturan had trek dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) terus berlanjutan apabila KTM dan Aprilia membuat aduan bahawa pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dikesan melepasi batas trek yang dibenarkan.
Bagaimanapun, aduan dua pasukan pengeluar tersebut untuk melihat semula insiden berkenaan bagi membuktikan pelanggaran had litar ditolak.
Pihak pengurusan perlumbaan menegaskan bahawa sistem sensor had trek tidak menunjukkan sebarang amaran bahawa Bagnaia melebihi had trek di selekoh 15 pada ketika itu.
“Pelumba No. 1, Bagnaia tidak melebihi had trek dan tayar tidak menyentuh kawasan trek hijau dan sensor tidak mengesannya. Perkara tersebut telah disahkan oleh kamera,” kata steward perlumbaan.
Jika seseorang pelumba dikesan melakukan kesilapan tersebut individu itu boleh kehilangan satu posisi atau kehilangan tiga saat sekali gus memungkinkan Bagnaia kehilangan tempat kedua kepada pelumba KTM, Brad Binder.
Bagaimanapun, keputusan itu nyata tidak menggembirakan KTM kerana mereka sebelum ini telah dikenakan penalti berikutan pelanggaran had limit litar sekali gus menjangkakan keputusan itu memihak kepada mereka.
Pada perlumbaan di GP Belanda, Brad Binder hilang podium tempat ketiga selepas diturunkan kedudukan keempat selepas dikesan melebihi had litar di litar Assen. – AGENSI