KUALA PILAH – Polis menerima dua laporan berkaitan kejadian khianat kepala babi iaitu meletakkan dan melemparkan kepala babi di dua lokasi yang berbeza di daerah ini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, lokasi pertama membabitkan Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional di Dun Juasseh dan kedua di sebuah rumah di Kampung Sawah Lebar Seberang.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku di Bilik Gerakan Utama sekitar pukul 7.45 pagi, manakala, satu laporan polis lagi dibuat oleh seorang lelaki yang memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Bahagian Kuala Pilah dan Pengurus Kempen Dun Senaling dari Perikatan Nasional dimana kejadian berlaku hadapan rumah individu berkenaan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan / 4A (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun, atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
Terdahulu, media melaporkan Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di sini dikejutkan dengan penemuan kepala khinzir yang diletakkan di hadapan Bilik Gerakan DUN Juasseh Perikatan Nasional (PN) pagi ini.
Calon PN DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kepala haiwan itu diletakkan di atas bendera parti berkenaan.-KOSMO! ONLINE