JAKARTA – Seekor kambing di Banjarnegara, Indonesia tular kerana gemar makan mi goreng bersama telur, lapor laman berita iNewsJateng hari ini.
Haiwan berusia enam bulan diberi nama Kuncoro itu dikatakan berbeza daripada kambing lain.
Pemiliknya, Hadi, yang merupakan penduduk di Kalibening berkata, Kuncoro mempunyai tabiat unik sejak lahir.
Selain hobi makan mi goreng, Kuncoro juga gemar makan kerepek ubi kayu, biskut dan minum susu lembu.
Rumput dan daun hanya diberikan sebagai hidangan sampingan atau pelengkap oleh tuannya.
Selain itu, Kuncoro akan mengikuti Hadi ke mana sahaja dia pergi.
Pada waktu siang, ia dibenarkan bermain di dalam rumah dan hanya akan dimasukkan ke dalam kandang pada waktu malam.
Kuncoro juga dimandikan dua kali sehari supaya kekal bersih dan wangi. Pada sebelah petang, ia dibawa bersiar-siar dan menjadi perhatian penduduk. – Agensi