fbpx

Ibu tunggal rayu baiki rumah diserang anai-anai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bingkai pintu rumah Meng yang rosak diserang anai-anai di Jalan Bukit Kerengga, Kampung Kubang Tiga di Padang Besar.

PADANG BESAR – Kesempitan hidup yang membelenggu dua beradik membuatkan mereka tidak mampu membaik pulih rumah pusaka tinggalan bapa mereka di Jalan Bukit Kerengga, Kampung Kubang Tiga, di sini.

Kediaman separa kayu ber­kenaan yang terletak di kawasan kebun getah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung zink akibat ribut.

Sehubungan itu, Erim Eim @ Endin Eim, 54, memohon mana-mana pihak membaik pulih rumah dua tingkat didiami ibunya, Meng Din Kew, 86.

“Selain kerosakan pada bumbung akibat ribut, dinding rumah ini juga diserang anai-anai dan sebahagian daripada struktur kayu juga terdapat rekahan.

“Apa yang lebih membimbangkan, ibu saya berkeras ingin terus tinggal di rumah tersebut kerana sayangkan rumah yang dibina mendiang ayah yang juga seorang tukang rumah,” katanya.

Katanya, walaupun dia dan adik beradik lain berjaya memujuk warga emas itu bermalam di rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ, namun keesokan harinya, ibunya tetap berkeras untuk pulang ke rumahnya.

Ujar Erim, ibunya juga mengalami masalah pada lutut kiri dan terpaksa berjalan menggunakan bantuan tongkat akibat terjatuh semasa menoreh getah beberapa tahun lalu.

“Kami dua beradik perem­puan tidak mampu membaiki rumah ini kerana masing-masing adalah ibu tunggal, manakala tiga saudara lelaki pula tidak mempunyai pendapatan tetap selain menyara keluarga.

“Buat masa ini, ibu tidak me­nerima bantuan mana-mana agensi kerajaan,” jelasnya.

Tambahnya, dia berharap mana-mana agensi berkaitan dapat membantu membaik pulih kediaman ibunya yang semakin usang.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menerusi akaun 0912041000047415 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Erim atau menghubunginya di talian 010-373 2499.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI