fbpx

Hamidin anggap Norza sudah ada perancangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Norza akan mengundurkan diri dari BAM pada penghujung tahun ini.

KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin percaya peralihan kuasa Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berlaku tanpa sebarang masalah.

Beliau menyuarakan keyakinan itu selepas penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan akan mengundurkan diri penghujung tahun ini, lebih awal berbanding pengumuman yang dibuat bulan lalu, iaitu selepas Olimpik Paris.

Hamidin berkata, peralihan kuasa bagi melantik Presiden BAM yang baharu nanti akan berjalan lancar kerana beliau menganggap Mohamad Norza sudah ada calon sesuai bagi menggantikan tempatnya.

“Kita berharap peralihan kuasa itu akan berjalan dengan sebaik-baiknya dan diharapkan pengganti beliau akan datang dengan kadar segera apabila tiba masa yang sesuai. Saya fikir beliau sudah ada perancangan dengan Ahli Majlis BAM.

“Sekarang beliau sedang berada di Kazakhstan dan saya memang mahu mengadakan pertemuan dengannya sebaik sahaja beliau pulang bagi membincangkan beberapa perkara, termasuk perkara ini dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia),” katanya.

Terdahulu, Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak spekulasi yang mendakwa beliau sebagai individu tepat bagi mengambil alih jawatan tersebut daripada Mohamad Norza.

Hamidin menegaskan, masih banyak tugas yang perlu diselesaikan bersama FAM selain menganggap tidak mungkin beliau memegang jawatan Presiden dua badan induk yang memiliki tanggungjawab cukup besar di Malaysia.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, persiapan kontinjen negara ke Sukan Olimpik tidak terjejas dengan situasi tersebut memandangkan Mohamad Norza masih kekal sebagai Presiden MOM sehingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya fikir, beliau masih Presiden MOM dan akan terus memantau perkembangan semua jenis sukan dalam negara,” ujar Hamidin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI