fbpx

Fify yang berkeras putuskan hubungan – Nafiez Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAFIEZ ZAIDI memaklumkan hubungannya dengan pelakon seksi, Fify Azmi terkandas di tengah jalan apabila mereka tidak lagi bergelar kekasih sejak April lalu.

PUTRAJAYA – Hasrat ingin mengakhiri status bujang terlerai apabila pelakon Nafiez Zaidi mengakui hubungan yang dibina selama dua tahun bersama aktres Fify Azmi berakhir April lalu.

Meskipun sudah menetapkan tarikh perkahwinan pada Disember tahun lalu, peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu tetap berkeras ingin berpisah walaupun Nafiez cuba mempertahankan hubungan mereka.

“Kami sudah tetapkan tarikh kahwin pada bulan Disember tahun lalu, tetapi Fify minta tangguhkan ketika saya menjalani penggambaran Malbatt: Misi Bakara di Turkiye.

“Namun, sekarang ini sejujurnya kami hanya berkawan kerana saya dan Fify tiada apa-apa hubungan lagi sejak hari Aidilfitri keenam yang lalu.

“Saya pun sudah cuba pertahankan hubungan kami. Namun, dia yang berkeras untuk bawa haluan masing-masing,” katanya usai majlis tayangan perdana Malbatt: Misi Bakara, semalam.

Bercerita lanjut, aktor berusia 31 tahun itu awalnya bersetuju untuk menangguhkan majlis mereka, tetapi tiada jawapan untuk menetapkan tarikh pernikahan baharu.

Selepas kejadian, Nafiez akui gagal mempertahankan hubungan yang semakin renggang sehingga membuat keputusan untuk berpisah.

“Pada awalnya saya tidak mahu menundakan perkara baik yang sudah dipersetujui bersama-sama, tetapi saya ikutkan sahaja kehendaknya.

“Masing-masing pun kemudian sibuk dengan jadual kerja sehingga kami semakin renggang dan mungkin itu antara punca kami tiada apa-apa,” ujarnya lagi.

Nafiez yang ditemui Kosmo! Online turut menjelaskan bahawa punca utama berpisah bukan disebabkan penampilan bekas kekasihnya yang seksi mahupun orang ketiga.

Dalam masa sama, dia juga menegaskan sedia terus menjalin persahabatan dengan pelakon drama Special Force: Anarchy itu.

“Bukan sebab penampilannya seksi atau kemunculan pihak ketiga yang menyebabkan kami berpisah. Mungkin bagi dia kami tiada lagi keserasian.

“Jadi, untuk kebaikan bersama kami pun berpisah. Kalau boleh mahu berkawan dan jadi profesional kerana saya tidak simpan dendam,” tuturnya.

Sebelum ini, hubungan cinta pasangan itu mula dihidu apabila sering mereka menghadiri beberapa acara hiburan dan berkongsi foto berdua dalam Instagram sejak 2021.

Pada Jun 2022, Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi menerima rombongan merisik keluarga Nafiez di Subang Jaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI