fbpx

DUN Perlis lulus Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penasihat Undang-undang negeri, Mohd. Radhi Abas (tengah) menunjukkan Enakmen Sumber Air Negeri Perlis 2023 di Kompleks DUN Perlis di Kangar, hari ini.

KANGAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis meluluskan Enakmen Sumber Air Negeri Perlis (SANPs) 2023 bagi menggantikan Enakmen Air 2011 dengan memberi kuasa yang lebih meluas untuk memelihara dan memulihara sumber air di negeri ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, enakmen itu membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri merancang dan menguruskan sumber air dengan lebih holistik serta dapat mengambil tindakan berkesan terhadap isu pencemaran sumber air.

“Ia juga adalah proses mengemas kini undang-undang berkaitan penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terhad di negeri ini.

“Enakmen ini juga memberi liputan aktiviti berkaitan sumber air di bawah kawalan JPS dan peruntukan proses pelesenan dan kutipan hasil berkaitan sumber air,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks DUN Perlis, di sini hari ini.

Kata beliau, enakmen baharu itu juga memansuhkan Enakmen Air 2011 yang dilihat mempunyai halangan untuk dilaksanakan secara menyeluruh.

“Enakmen Air 2011 sebelum ini tidak pernah dipinda atau ditambah baik berbanding negeri-negeri lain seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu yang telah meminda enakmen air masing-masing.

“Kita harapkan dengan adanya enakmen air baharu ini, ia dapat menjaga dan menjamin keselamatan kawasan tadahan dan sumber air Perlis yang terhad selain dapat meningkatkan kutipan hasil daripada sumber tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, enakmen itu juga turut memeperuntukkan kuasa menggeledah tanpa waran selain peningkatan penalti sehingga RM100,000 kerana melakukan pencemaran air berbanding hanya RM10,000 hingga RM50,000 sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI