fbpx

Dulu jurutera dan juruukur bahan, kini pegawai SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Syafiq dan Nur Hidayah masing-masing menerima Anugerah Kadet Latihan Luar Terbaik (Lelaki) dan Kadet Latihan Luar Terbaik (Wanita) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022 (Penguasa P41) di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua individu yang sebelum ini bergelar jurutera reka bentuk mekanikal dan juruukur bahan sanggup ‘meninggalkan’ kerjaya profesional di sektor swasta bagi mengejar impian menyarung uniform Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhammad Syafiq Zulkifli, 34, dan Nur Hidayah Mohd. Arsyad, 30, antara dua daripada 75 Pegawai Kadet Penguasa Gred P41 yang berjaya menjalani kursus asas dan dianugerahkan Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7).

Lebih manis, Muhammad Syafiq yang juga bapa kepada empat anak menerima Anugerah Kadet Latihan Luar Terbaik (Lelaki), manakala Nur Hidayah iaitu ibu kepada seorang anak diumumkan penerima Anugerah Kadet Latihan Luar Terbaik (Wanita).

Berkongsi cerita menceburi kerjaya sebagai warga SPRM, Muhammad Syafiq yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai jurutera reka bentuk mekanikal di sebuah kilang swasta automotif.

“Ujian menimpa saya apabila sewaktu pandemik Covid-19, tempat kerja saya juga terkesan. Dari situ, saya mencari pekerjaan lain di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Ditambah lagi saya memang meminati penyiasatan dan salah satunya adalah pegawai penyiasat. Jadi apabila terdapat kekosongan di SPRM, saya mencuba dan rezeki,” katanya ditemui pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022 (Penguasa P41) di sini hari ini.

Muhammad Syafiq berkata, cabaran terbesar sepanjang kursus tersebut adalah berjauhan dengan anak-anak dan isteri dalam tempoh yang lama.

“Saya ada empat anak usia tujuh hingga dua tahun. Memang rindulah sebab sembilan bulan tak dapat jumpa kerana saya perlu mengikuti kursus.

“Apa pun saya bersyukur telah tamat kursus dan berkhidmat sebagai warga SPRM. Pada masa ini, saya belum tahu di mana akan ditempatkan,” katanya.

Begitu juga Nur Hidayah yang berasal dari Kuantan, Pahang memilih untuk menjadi pegawai di SPRM kerana meminati kerjaya beruniform.

Dia sebelum ini bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah syarikat swasta dan pernah banyak kali memohon sebagai polis selain penguat kuasa Jabatan Imigresen, namun tidak berjaya.

“Minat dah lama, alhamdulillah ini rezeki saya. Sepanjang mengikuti kursus, suami dan mak ayah memang kekuatan dan mereka sering berikan kata-kata semangat sewaktu saya ‘down’.

“Saya ada seorang anak berusia lima tahun. Sepanjang kursus sembilan bulan, kami terpaksa menghantarnya di Kuantan kerana suami saya bekerja dan pulang lewat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hadir pada majlis tersebut serta menyampaikan anugerah kepada pegawai kadet terbabit.

Dalam ucapannya, Azam berkata, Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022 (Penguasa P41) merupakan kursus di bawah Program Kursus Asas berakreditasi melibatkan kolaborasi di antara SPRM dan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom.

Katanya, mereka menjalani Latihan Kursus Asas dan pengajian Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: AntiCorruption Leadership (Level 7) dalam tempoh sembilan bulan hari bekerja.

Pada sidang akhbar pula, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan 500 perjawatan di SPRM dengan 300 daripadanya telah diisi, manakala 200 perjawatan lagi sedang dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita berharap 200 perjawatan ini dpt diisi secepat mungkin untuk kita jalankan aktiviti pencegahan rasuah dengan lebih berkesan pada masa sekarang dan akan datang.

“Perjawatan 200 ini pun bukan kata terus dapat kerana perlu dipilih selain melatih mereka. Jadi ia ambil masa dalam tempoh dua tahun dari sekarang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI