fbpx

Dahulu diejek, kini anak tukang bersih belajar di Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JEFFRY mengucup pipi Aisah ketika melawati ibunya itu di tempat kerjanya di bangunan SWM di Cheng, Melaka.

MELAKA – Pengalamannya pernah diejek rakan hanya kerana ibunya seorang tukang bersih dan bapa pemandu lori sampah menjadi pembakar semangat buat seorang pemuda untuk terus mencapai kejayaan sehingga melanjutkan pengajian di Université Toulouse 3-Paul Sabatier, Perancis.

Menurut Jeffry Rais Jamaludin, 21, dia ditawarkan pengajian ke luar negara di bawah tajaan Majlis Amanah Raya (Mara) selepas memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019 dan kini sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Katanya, meskipun masih belum menggenggam sijil graduasi, namun peluang yang diberikan itu disifatkan sebagai satu pencapaian dalam hidupnya apatah lagi sebelum ini pernah dipandang rendah oleh rakan-rakannya.

“Saya memang belajar bersungguh-sungguh untuk buktikan bukan sahaja kepada kawan-kawan tetapi masyarakat bahawa individu yang dilahirkan dalam keluarga sederhana ini juga mampu berjaya.

“Saya masih ingat pernah diejek rakan-rakan di sekolah rendah mereka kata mak saya tukang bersih sampah, ayah bawa lori sampah dan selepas itu saya nekad untuk dapatkan keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di syarikat SWM Environment syarikat tempat ibunya, Aisah Iberahim, 49, bekerja.

Jeffry merupakan antara 15 pelajar Malaysia daripada jumlah keseluruhan 100 penuntut dalam kumpulan pengambilan sesi 2021.

Tambahnya lagi, berada di negara asing itu, dia menguruskan kewangannya dengan cara berjimat cermat dan tidak pernah meminta wang belanja daripada keluarganya.

“Saya hanya makan di luar sebulan sekali, selebihnya saya masak di rumah dengan berpandukan resipi di YouTube dan kadang-kala saya telefon emak.

“Duit biasiswa yang saya dapat, saya simpan. Sekiranya rakan-rakan ajak ke mana-mana pada musim panas, saya akan gunakan wang itu, jadi tidaklah saya berasa tersisih kerana isu duit,” katanya.

Ibunya, Aisah pula memberitahu, anak ketiga daripada empat beradik itu yang mesra dengan panggilan Jep mula berdikari sejak tingkatan satu selepas dimasukkan ke sekolah berasrama sebelum menerima tawaran ke Maktab Rendah Sains MARA Terendak (MRSM Terendak) di bawah tajaan MARA.

“Bila dia dapat keputusan 9A dalam SPM memang saya terkejut dan selepas itu ditawarkan pula ke Perancis. Pada awalnya memang saya rasa berat hati kerana risau dia berada di negara yang dikatakan Islamophobia, namun menilai keperibadiannya yang pandai berdikari sejak kecil, saya dan suami benarkan juga.

“Selepas itu kami tertanya-tanya juga duit belanjanya tetapi Jep selalu telefon tanya resipi memasak dan katanya dia ada menyimpan duit, jadi memang kami tidak pernah kirimkan wang walaupun sesen,” katanya yang telah bekerja selama 15 tahun di syarikat tersebut.

Tambahnya, sehingga hari ini dia dan suami, Jamaludin Kamis, 59, masih berasa bangga dengan pencapaian anaknya, malah pemuda itu juga pernah memberitahu ingin membantu merubah taraf kehidupan mereka sekeluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI