NIAMEY, NIGER – Bekas komander bersekutu tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO) bagi Eropah, James Stavridis menzahirkan kebimbangan bahawa rantau Afrika bakal terjerumus ke dalam perang berskala penuh berpunca daripada konflik rampasan kuasa di Niger, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Dalam amarannya Stavridis berkata,tarikh akhir yang diberikan terhadap pemimpin kudeta, Jeneral Abdourahamane Tchiani supaya melantik semula Presiden yang digulingkan, boleh memburukkan konflik tersebut.
Abdourahamane diberi tempoh hingga Ahad lalu oleh Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) supaya membebaskan Presiden Mohamed Bazoum, namun, beliau menolak kata dua ECOWAS.
Junta tentera kemudian menutup ruang udara Niger berikutan kebimbangan berlakunya pencerobohan tentera oleh negara-negara jirannya. Niamey juga menghentikan eksport mineral penting ke bekas negara penjajahnya, Perancis.
Mali dan Burkina Faso yang turut diperintah oleh junta tentera, menyokong Abdourahamane dengan mengeluarkan amaran bahawa sebarang pencerobohan pihak luar akan membawa kepada pengisytiharan peperangan.
Meskipun risiko perang agak jauh, konflik itu semakin meruncing berikutan kuasa besar dunia seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Russia masing-masing mempunyai kepentingan di rantau tersebut.
“Adakah konflik di Niger akan membawa kepada peperangan berskala penuh di Afrika? Sudah pasti itu berpotensi untuk berlaku dan jika berlaku, ia akan menjadi konflik besar lagi dahsyat,” kata Stavridis menerusi platform X atau Twitter.
Agensi berita Associated Press melaporkan, beberapa negara rantau Afrika Barat telah berbincang mengenai kesediaan sumber ketenteraan mereka selepas perbincangan dengan junta Niger terhenti.
Dalam masa sama, Abdourahmane dilaporkan turut meminta bantuan kumpulan tentera upahan Russia, Wagner untuk membantunya berdepan konflik dengan ECOWAS. – AGENSI