KLANG – Polis menyelamatkan 14 wanita Indonesia yang dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi di sini, malam tadi.
Kesemua wanita itu berusia 23 hingga 43 tahun diselamatkan menerusi Op Pintas pukul 8.50 malam.
Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang disyaki berperanan sebagai ejen dan majikan mangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek menjalankan aktiviti perkhidmatan pembersihan rumah kira-kira tiga tahun tanpa sebarang pendaftaran perniagaan. Wanita itu mengambil warga asing sebagai pekerja bagi perkhidmatan pembersihan rumah ke rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Fadil turut menjelaskan siasatan mendapati dokumen peribadi mangsa disimpan oleh suspek selain ada daripadanya didakwa turut dipukul.
“Rumah itu digunakan sebagai tempat penginapan semua pekerja yang dijaga suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 [Akta 670].
“Operasi itu bertujuan membanteras ejen pembersihan rumah yang terlibat aktiviti pemerdagangan manusia ke atas warga asing yang merupakan pekerja mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE