GOMBAK – Lebih 50 peratus daripada 93 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pasangan selesai mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, hari ini.
Tinjauan Kosmo! di sini mendapati setakat pukul 9 pagi tadi, kadar peratusan itu melibatkan seramai 48 anggota termasuk pasangan pada hari pengundian awal di Dewan Dato Yaacob, Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja, Batu Caves di sini.
DUN Sungai Tua menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandangnya, Datuk Seri Amiruddin Shaari, calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal yang bertanding atas tiket Bebas.
Untuk makluman, sebanyak 260 pusat mengundi awal dan 377 saluran awal dibuka serentak bermula pukul 8 pagi tadi pada PRN enam negeri kali ini.
Ia melibatkan seramai 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing.
SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan undi awal bagi PRN pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pula pada 12 Ogos ini.
PRN kali ini melibatkan sebanyak 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE