LONDON – Kemenangan ke atas Manchester City pada aksi Perisai Komuniti di Wembley malam kelmarin membuktikan Arsenal sudah bersedia untuk memburu lebih banyak kejuaraan pada saingan musim ini.
The Gunners menjulang FA Community Shield ke-17 mereka selepas menewaskan City 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti susulan kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sepanjang lebih 100 minit permainan.
Justeru, Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya mereka layak untuk memenangi perlawanan tersebut kerana sudah menunjukkan semangat juang tinggi biarpun pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
“Sesuatu yang bagus apabila pemain-pemain berasa yakin, mereka percaya pada diri sendiri untuk menewaskan mana-mana pasukan. Saya fikir kami tunjukkan kemahuan tinggi untuk berjuang dan memenangi perlawanan ini.
“Kami memang layak untuk menang, lebih-lebih lagi menentang sebuah pasukan yang sering beraksi dalam perlawanan akhir. Tidak ada sesuatu yang lebih baik berbanding menang ke atas pasukan terbaik dunia di Wembley,” katanya.
Pada perlawanan itu, City terlebih dahulu berada 1-0 di depan menerusi jaringan menarik pemain muda, Cole Palmer pada minit ke-77 sebelum Leandro Trossard menyamakan kedudukan buat Arsenal pada saat-saat akhir perlawanan.
Dalam pada itu, Arteta menyuarakan rasa kagum terhadap aksi yang ditampilkan dua pemain baharu, Declan Rice dan Jurrien Timber selain mempertahankan Kai Havertz yang mensia-siakan dua peluang menjaringkan gol.
“Secara jujur, Havertz sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini kerana membantu pasukan ketika cuba memenangi bola. Selain itu, dia juga sentiasa berada dalam posisi terbaik untuk menjaringkan gol.
“Selain itu, Rice dan Timber juga menunjukkan aksi cukup baik. Mereka sudah semakin menyesuaikan diri dengan pasukan dan sangat tenang membantu rakan sepasukan yang lain. Saya gembira dengan aksi yang ditampilkan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menggesa anak-anak buahnya supaya menyesuaikan diri dengan peraturan baharu masa tambahan kerana mungkin akan beraksi 100 minit dalam setiap perlawanan musim ini. – AGENSI