LUMUT – “Dia baru tiga hari bekerja dalam sektor pembinaan di Lumut, tidak sangka pengakhirannya begini,” kata sepupu kepada B. Chandrasegaran.
Chandrasegaran, 50, adalah salah seorang daripada empat lelaki yang rentung dalam kebakaran kereta di Kilometer (km) 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, dekat Ayer Tawar dekat sini, petang semalam.
Sepupu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramana, 40, berkata, sebelum ini Chandrasegaran pernah bekerja sebagai pemandu lori kemudian berhenti untuk menternak kambing yang kini sudah mencecah 16 ekor.
Maklumnya, mangsa kemudian mendapat tawaran bekerja dengan sebuah syarikat yang memperoleh projek pembinaan dalam Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.
Justeru, maklumnya, sejak Sabtu lalu mangsa yang tinggal di Kampung Tersusun Jelapang, Ipoh, mengikut empat rakannya menaiki sebuah kereta berulang alik dari Ipoh ke Lumut untuk bekerja.
Jelasnya, seorang rakan mangsa berusia 54 tahun yang cedera parah dan kini dirawat di HSM pula difahamkan baru sehari bekerja.
“Sepupu saya ini pandai cakap Cina, tetapi dia tidak beritahu lanjut tentang kerja baharunya itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) hari ini.
Turut berada di situ ialah isteri mangsa, R. Poongothai, 50, dan anak sulungnya, C.Hinthumathi, 21, daripada tiga beradik.
Kedua-duanya bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kejadian itu.
Menurut Ramana, mereka sekeluarga mendapat tahu kejadian tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.11 petang itu, Chandrasegaran duduk di kerusi penumpang hadapan.
Sementara itu, kesemua empat mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pagi ini, untuk proses bedah siasat dan pengecaman. – KOSMO! ONLINE