LONDON – Seorang wanita dari Cheshire, Britain melahirkan ketiga-tiga anaknya pada tarikh yang sama, iaitu 20 Jun dalam tahun berbeza, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Emma Smith, 42, pada awalnya diberitahu dia mungkin tidak dapat hamil kerana menghidap endometritis, iaitu keadaan seumur hidup yang menjejaskan lapisan rahim dan boleh menyebabkan keguguran semasa kehamilan.
Namun, dia mengatasi kebarangkalian satu dalam 133,000 dengan melahirkan anak sulungnya, Alfie James yang kini berusia tujuh tahun, Jesse Joe, empat dan Arley Jay yang dilahirkan pada 20 Jun lalu.
“Ia memang keajaiban yang sempurna. Sama ada seseorang memandang rendah ke atas kami atau apa sahaja yang anda mahu katakan, ketiga-tiga anak ini adalah istimewa dengan cara mereka sendiri,” kata Emma.
Tambahnya, apa yang menjadikan kanak-kanak itu lebih istimewa adalah mereka merupakan ‘bayi pelangi’. Ia merupakan gelaran diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan sejurus selepas si ibu mengalami keguguran.
Emma dan pasangannya, Dave Mycock berharap agar ketiga-tiga anak mereka dapat menyambut hari lahir bersama-sama meskipun telah dewasa kelak. – AGENSI