MELAKA – Kesusahan hidup seorang pelajar baharu, Nabilah Zainuddin mendapat perhatian Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selepas institusi pengajian tinggi itu menghulurkan bantuan awal kepadanya untuk memulakan pengajian.
Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pelajar tersebut menerima sumbangan berupa pembiayaan penuh yuran pengajian untuk semester satu berjumlah RM914 serta elaun sara hidup sebanyak RM500 sebulan.
Katanya, pembiayaan itu ditawarkan menerusi tajaan Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah pakej Anak Emas UTeM yang memilih pelajar dalam kategori susah, tetapi mempunyai latar pendidikan yang cemerlang.
“Nasib yang menimpa pelajar terbabit mendapat perhatian khusus daripada pihak UTeM dan kami dimaklumkan Nabilah telah mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan, tetapi dia tidak mampu untuk memulakan pengajian kerana kesusahan hidup dialami keluarganya.
“Bapa Nabilah, Zainuddin Hassan, 54, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak lagi dapat mencari rezeki kerana menghidap penyakit jantung dan telah menjalani pembedahan serta rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Ibunya, Siti Noormasurah Ahmad yang berusia 49 tahun hanya bekerja sebagai pembantu kantin bagi membantu membiayai keluarga, tetapi dia turut berdepan dengan masalah kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nabilah berkata, bantuan yang diterima daripada UTeM memberikan sinar dan harapan baharu dalam merealisasikan impiannya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan pembuatan.
Menurutnya, dia berharap dapat membantu ekonomi keluarga ke arah yang lebih baik dengan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE