TANGKAK – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempamerkan bakat menulis seni khat Islam dan kaligrafi Cina ketika rombongan keluarga Diraja Johor singgah di Sawah Ring, di sini.
Sawah Ring merupakan lokasi pertama hari ketiga jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang akan merentasi tiga daerah dengan menempuh perjalanan sejauh 169 kilometer (km).
Berangkat sama ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Penggiat seni khat, Sufian kamaruddin, 39, berkata, dia nyata gementar ketika menunjukkan cara menulis khat kepada Tunku Ismail.
“Tulisan yang mendapat sentuhan TMJ ini akan saya simpan sebagai kenangan terindah.
“Ini mungkin merupakan pengalaman pertama dan akan diabadikan, bukan senang nak berdepan dengan Tunku Ismail,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementera itu, pelukis kaligrafi Cina, Lee Chin Chok, 72, gugup ketika memegang tangan Tunku Ismail bagi menunjukkan cara mengecat tulisan Cina.
“Saya bagai tak percaya dapat pegang tangan TMJ dan bertuah terpilih sebagai pempamer pada pameran di Sawah Ring,” katanya.
Sementara itu, Tunku Idris, Tunku Abu Bakar serta Dennis Muhammad berkenan menyaksikan pertandingan sukan rakyat iaitu menangkap ikan di dalam petak sawah, tarik tali serta boling sawah.
Rombongan konvoi KMJ 2023 meneruskan perjalanan ke destinasi kedua iaitu Hutan Taman Negeri Ayer Hitam Utara, Muar selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni rakyat pelbagai bangsa di Sawah Ring, di sini.
KMJ yang memasuki edisi ke-23 sejak dianjurkan pada kali pertama pada tahun 2001 merupakan cetusan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika baginda menjadi Tunku Mahkota Johor.
Pada edisi kali ini, KMJ diadakan selama empat hari yang diketuai Tunku Ismail akan menempuh perjalanan sejauh 879km merentasi 10 daerah bermula Sabtu lalu akan berakhir esok. – KOSMO! ONLINE