KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki negara untuk menyambar tiket awal ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India tertangguh seketika selepas dibelasah 0-5 oleh tuan rumah sebentar tadi.
Kekalahan itu secara tidak langsung meleburkan rekod bersih Speedy Tigers yang terdahulu menewaskan Pakistan 3-1 dan China 5-1 dalam dua perlawanan terdahulu.
Skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu berhajat merakam kemenangan ketiga, namun segalanya serba tidak menjadi apabila India lebih banyak mendominasi permainan dari awal perlawanan.
Serangan demi serangan akhirnya membolehkan lawan di ranking keempat dunia itu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Karthi Selvam pada minit ke-15.
Perjuangan skuad negara tampak lebih sukar selepas membenarkan India menambah dua lagi gol dalam tempoh 10 minit, kali ini menerusi pukulan sudut penalti Hardik Singh dan Harmanpreet Singh pada minit ke-32 serta 42.
Skuad negara yang berada di ranking ke-10 dunia, mempunyai beberapa peluang untuk merapatkan jurang termasuk gol pukulan sudut penalti daripada Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang dibatalkan pengadil perlawanan.
Segalanya musnah apabila India yang dibimbing Craig Fulton meledak dua lagi gol dalam tempoh seminit melalui Gurjant Singh dan Jugraj Singh pada minit ke-53 serta 54 melengkapkan kemenangan bergaya 5-0.
Biarpun tewas tetapi Speedy Tigers masih berpeluang melangkah ke separuh akhir jika menang ke atas Jepun petang ini walaupun masih berbaki satu lagi perlawanan menentang Korea Selatan pada Rabu ini. – KOSMO! ONLINE