PETALING JAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempelawa orang ramai menonton debat beliau dengan pimpinan Pas pada 9 Ogos ini.
Menurut Rafizi, debat “Model Baharu Ekonomi Malaysia” tersebut akan disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan dalam talian.
“Insya-Allah, rakyat akan dapat menilai dan meneliti secara objektif rancangan dan hala tuju ekonomi yang akan dibentang dan didebatkan.
“Debat akan disiarkan secara langsung jam 9.30 malam. Debat juga boleh diikuti secara “online”.
“Saya pohon sebarkan dan mengajak seluruh rakyat mengikuti sesi debat ini. Kita jumpa Rabu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Rafizi dijadualkan berdebat dengan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Sulaiman.
Difahamkan, Mohd. Syahir terlebih menolak untuk berdebat dengan Rafizi sebelum mengubah fikiran dan menyatakan kesediaannya.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan menolak pelawaan berdebat dengan Rafizi. – KOSMO! ONLINE