ALOR SETAR – Rakyat negeri ini diminta untuk memilih pemimpin yang mampu menguruskan negeri dengan efektif, bukan berdasarkan populariti seseorang individu semata-mata.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keperluan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang mampu menguruskan ekonomi negeri dengan baik sangat penting untuk kebaikan semua.
“Di Kedah, terdapat majoriti Melayu tetapi terdapat juga komuniti Cina, India, dan Thai. Mereka semua memerlukan ekonomi yang kukuh.
“Betul atau tidak? Sebab itu kita kena fikir bahawa ini (pemerintahan negeri) bukan untuk watak populis, bukan mahu popular. Kita nak jadi kerajaan, tak penting popular,” katanya pada Ceramah Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), di sini malam tadi.
Kata Mahdzir, kemajuan negeri juga bergantung kepada hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Ujarnya, pertikaian yang kerap berlaku dengan pemimpin di peringkat Persekutuan akan menghalang sebarang kemajuan dalam projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
“Kalau selalu cari masalah, kita gaduh hari-hari, kita fitnah hari-hari, kita marah hari-hari, siapa mahu tolong kita?” katanya. – KOSMO! ONLINE