fbpx

Pertuduhan terhadap Inspektor Sheila tiada asas, remeh – peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Inspektor Sheila (kanan) dan peguamnya ketika hadir di Mahkamah Majistret hari ini. - Foto oleh FIRDAUS JOHARI / KOSMO!

SELAYANG – Pihak pembelaan dalam kes pegawai polis wanita yang tular sebagai Inspektor Sheila akan mengemukakan bantahan awal terhadap tiga pertuduhan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam M. Manoharan pada ketika sebutan semula kes di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Semasa prosiding, peguam itu berkata bantahan awal yang dikemukakan itu antaranya berhubung isu perlembagaan selain pertuduhan-pertuduhan yang didakwa adalah tidak berasas dan remeh.

“Kami kemukakan bantahan tersebut dengan menyentuh peruntukan sebagai mana dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, pihak pembelaan juga ingin mendapatkan kepastian sama ada ketiga-tiga pertuduhan ini akan dibicarakan dalam satu mahkamah atau berasingan,” katanya yang turut disertai dua lagi peguam, P. Subramaniam dan S. Raveentharan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes.

“Pihak pendakwaan mengesahkan sebahagian dokumen telah diserahkan dan hanya dokumen berkaitan rakaman video yang masih belum diserahkan,” kata Anis Farhah.

Dalam prosiding terdahulu di hadapan Majistret Guan Hock, Sheila atau nama sebenarnya S. Sheila Sharon, 35, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa dan menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”.

Bagi kesalahan mengugut Sheila didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi seksyen menghina, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini pukul 12 tengahari pada 15 Jun lalu.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Beghwant Singh turut memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes.

Di mahkamah itu, tertuduh didakwa telah menyebut berkenaan pangkat Lans Koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan penama tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat sama pukul 1.25 petang pada 15 Jun lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular seorang penjawat awam yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dikatakan merendah-rendahkan pangkat anggota polis lain.

Sejurus kejadian tular itu, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka selain tindakan ditahan tugas dikenakan ke atas pegawai polis itu berikutan beberapa siri kekecohan yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI