JAKARTA – Kemeriahan sebuah majlis perkahwinan di Tasikmalaya, wilayah Jawa Barat bertukar kecoh selepas pelamin yang didirikan runtuh lalu menimpa pengantin perempuan, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Dalam video yang dimuat naik di laman TikTok, tetamu majlis yang berlangsung di kawasan terbuka itu dilihat panik apabila kadbod yang digunakan sebagai dinding pelamin runtuh secara tiba-tiba.
Menurut individu yang memuat naik video tersebut, Ginanjar Riyadi, acara perkahwinan itu berlangsung pada 15 Julai lalu.
“Pengantin perempuan terjatuh kerana ditimpa pelamin. Pengantin lelaki pula sempat melompat bangun ketika kadbod hampir runtuh. Ibu bapa pengantin perempuan turut ditimpa pelamin itu,” kata Ginanjar.
Tambah vendor hiburan dan muzik tersebut, ketika kejadian, sudah tidak ramai tetamu yang berada di situ kerana majlis tersebut hampir tamat.
“Namun, pihak keluarga pengantin membuat keputusan menamatkam majlis serta-merta kerana keadaan di situ tidak mengizinkan,” ujarnya.
Tambah Ginanjar, pengantin perempuan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, sebaliknya hanya menangis kerana berada dalam keadaan terkejut.
“Pelamin itu mungkin runtuh disebabkan angin kuat,” katanya. – AGENSI