SABAK BERNAM – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedia bekerjasama dengan kerajaan Selangor bagi meneroka kepelbagaian industri yang berpotensi tinggi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kawasan DUN itu sememangnya dikenali dengan tanaman kelapa dan industri hiliran lain.
Menurutnya, industri di kawasan itu meliputi sektor ‘upstream’ dan ‘downstream’ yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.
“Contoh (aktiviti industri) downstream seperti pembukaan kilang memproses bahan-bahan mentah, namun ia terpulang kepada perbincangan antara MITI dan kerajaan negeri.
“Saya juga ada berbincang dengan penduduk yang mempunyai beberapa cadangan supaya kita mempelbagaikan lagi industri di Sungai Air Tawar,” katanya ketika ditemui pada Program Kunjung Kasih DUN Sungai Air Tawar di sini, hari ini.
Tambah Tengku Zafrul, terdapat kira-kira 240 hektar tanah milik kerajaan negeri di kawasan itu yang masih kosong dan berpotensi untuk dimajukan. – KOSMO! ONLINE