KARACHI, PAKISTAN – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh manakala lebih 60 lagi cedera selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir di selatan Pakistan semalam, lapor agensi berita United Press International.
Tren Hazara Express yang membawa 950 penumpang dilaporkan tergelincir dari trek berhampiran bandar Nawabshah di daerah Benazirabad, dalam wilayah Sindh.
Kereta api itu berlepas dari Karachi, yang merupakan bandar di pantai Laut Arab serta terletak lebih 257 kilometer, pada pukul 8 pagi (waktu tempatan).
Ia ketika kejadian dalam perjalanan ke Havelian, lebih 1,126 kilometer di bahagian timur laut dan bergerak pada kelajuan kira-kira 45 kilometer sejam apabila tergelincir dari landasan.
Menteri Kereta Api, Khawaja Saad Rafique berkata, pengumuman kecemasan telah dikeluarkan untuk semua hospital di Sukkur dan Nawabshah bagi merawat mangsa yang cedera.
Tambah Khawaja, dua kereta api lain turut dihantar ke lokasi nahas bagi memberikan bantuan dengan para penumpang dibawa keluar dari tren tersebut.
Pasukan tentera turut dikerah ke lokasi kejadian dengan ada yang menggunakan helikopter bagi menjalankan usaha menyelamat.
Punca kejadian masih disiasat. – AGENSI