MARANG – Demi memenuhi hasrat untuk berumah tangga, seorang tukang gunting mempunyai cara tersendiri untuk mencari duit apabila menawarkan perkhidmatan memotong rambut kepada pengunjung di Pulau Kekabu di sini sejak empat bulan lalu.
Nur Imran Hasmadi, 25, berkata, dia menawarkan perkhidmatan menggunting rambut secara sambilan di kawasan riadah tersebut pada setiap Jumaat.
“Saya sebenarnya bekerja di sebuah pusat dandanan rambut di pusat pekan Marang di sini.
“Saya akan menawarkan perkhidmatan menggunting rambut di Pulau Kekabu pada setiap hari cuti mingguan, Jumaat sejak April lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Nur Imran berkata, pendapatan sampingan tersebut bertujuan mengumpul duit sebagai persiapan untuk melangsungkan perkahwinannya dijadual pada bulan Disember ini.
Jelasnya, perkhidmatan menggunting rambut di Pulau Kekabu ditawarkan secara santai dengan hanya beralaskan kanvas dan kerusi.
“Peralatan mengunting rambutnya pula diletakkan di dalam but kereta. Perkhidmatan menggunting rambut di Pulau Kekabu ditawarkan dari pukul 3 petang sehingga maghrib.
“Caj dikenakan baik individu dewasa mahupun kanak-kanak hanya RM10. Biasanya setiap minggu, saya menerima purata 10 orang pelanggan,” katanya.
Nur Imran memberitahu, rata-ratanya pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan diberikannya.
Dia berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini, anak muda perlu kreatif dalam mencari rezeki.
“Saya sendiri tidak pernah menghadiri kelas formal sebaliknya belajar menggunting rambut menerusi laman Youtube sejak di bangku sekolah.
“Pada mulanya, saya menawarkan diri menggunting rambut rakan-rakan sebaya secara percuma sebelum bekerja di beberapa kedai gunting rambut untuk meningkatkan kemahiran setelah tamat persekolahan,” katanya.