RANGKAIAN kedai serbaneka FamilyMart antara kedai kemudahan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya disebabkan penawaran pelbagai produk makanan dan minuman yang dilihat berjaya menambat cita rasa masyarakat.
Hidangan seperti oden, snek panas, sofuto (aiskrim), kopi dan frappe (minuman ais kisar) di FamilyMart telah lama menjadi kegemaran anak muda sejak jenama tersebut mula-mula memasuki Malaysia pada November 2016.
Justeru, tidak hairan rangkaian kedai yang diasaskan berdasarkan konsep konbini dari Jepun, iaitu untuk menawarkan kemudahan kepada para pelanggan itu memperlihatkan pertumbuhan pantas dengan sekitar 300 cawangan setakat ini.
Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Pengarah QL Maxincome Sdn. Bhd. iaitu pemegang francais induk FamilyMart di negara ini, Chia Lik Khai berhubung rancangan pertumbuhan jenama tersebut di Malaysia.
KOSMO!: FamilyMart semakin aktif meluaskan cawangannya termasuk di bandar-bandar kecil. Berapa cawangan baharu yang bakal dibuka sehingga akhir tahun ini dan juga yang akan datang?
Lik Khai: Kami amat bersyukur rakyat Malaysia menyambut baik perkembangan FamilyMart sejak pembukaan kedai pertama kami lebih enam tahun yang lalu.
Untuk tahun 2023, kami menyasarkan pembukaan 70 cawangan FamilyMart, termasuk 20 cawangan di Pantai Timur Semenanjung, terutamanya di Kuantan, Pahang. Selain itu, kami juga berada di landasan yang tepat untuk mencapai 50 kedai FamiCafé yang mendapat pengesahan sijil halal dalam tahun ini.
Sasaran kami adalah untuk menggandakan bilangan kedai FamilyMart kepada 600 cawangan menjelang tahun 2027.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/08/2-1024x683.jpeg)
Untuk perancangan perkembangan tersebut, adakah ia bakal dikendalikan sepenuhnya oleh QL Maxincome atau dibuka kepada mana-mana usahawan menerusi francais atau konsep lain?
Buat masa terdekat, fokus utama kami adalah untuk terus meningkatkan nilai tawaran melalui produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan.
Kami masih sedang mengembangkan operasi di Malaysia dan ingin mengekalkan kualiti produk dan perkhidmatan mengikut piawaian kami.
Kami mempunyai skim insentif prestasi dalam kalangan pengurusan kedai serta sedang menguji model perkongsian keuntungan dan akan membangunkan model francais dalam masa terdekat. Semua cawangan FamilyMart di Malaysia kini dikendalikan oleh QL Maxincome.
Apakah kekuatan dan keunikan FamilyMart berbanding kedai serbaneka lain dalam segmen yang sama?
Perkara paling penting ialah kedua-dua dapur pusat FamilyMart Malaysia telah menerima sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Ini bermakna, makanan yang disediakan di dapur pusat ini disyorkan halal. Setakat 30 Jun 2023, 199 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal rasmi Jakim.
Kami terus berusaha dan berinovasi untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan supaya mereka dapat menikmati makanan dan minuman FamilyMart tanpa was-was. Selaras dengan ini, kami amat bangga apabila FamiCafe di FamilyMart Menara U, Shah Alam menjadi kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal setelah melepasi audit halal oleh Jakim.
Cawangan FamilyMart yang lain juga akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan Jakim dan kami menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafe menjelang tahun 2025.
FamilyMart diasas berdasarkan konsep konbini dari Jepun, iaitu untuk menawarkan kemudahan kepada para pelanggan. Sejajar dengan ini, kami amat menitik berat penyediaan makanan yang bersesuaian dengan cita rasa tempatan dan memenuhi permintaan kemudahan pelanggan Malaysia.
Antara produk terkini yang diperkenalkan adalah seperti resipi baharu untuk Oden Original, Bagel, Cookies Latte, Mix Berries Frappe dan banyak lagi.
Kami akan terus memperkenalkan produk berkualiti tinggi demi memenuhi kepuasan hati para pelanggan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai gaya hidup sibuk.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/08/3-1024x683.jpg)
Adakah syarikat berpuas hati dengan pencapaian FamilyMart di Malaysia sehingga kini? Bagaimana prestasi jenama ini di sini berbanding di negara-negara jiran?
Ya, kami berpuas hati dengan pencapaian FamilyMart di Malaysia setakat ini, lebih-lebih lagi setelah melalui tempoh dua tahun yang mencabar akibat pandemik Covid-19.
Pada masa sama, adalah agak sukar bagi kami membuat perbandingan dengan negara-negara lain kerana perkembangan dan pasaran masing-masing adalah berlainan. Kami amat bersyukur rakyat Malaysia menyambut baik perkembangan serta produk FamilyMart.
Berapakah sasaran pertumbuhan jualan tahun depan dan apa strategi syarikat untuk mencapainya?
Kami menyasarkan pertumbuhan jualan FamilyMart sebanyak 10 hingga 15 peratus untuk tahun depan. Di samping pertumbuhan jualan, kami juga menekankan kepelbagaian produk, kebolehcapaian dan ekuiti jenama.