MANCHESTER – Penjaga gol Manchester United, Andre Onana memohon maaf terhadap kesilapannya menyebabkan Lens menjaringkan gol dari tengah padang walaupun menang 3-1 dalam aksi pramusim di Old Trafford malam kelmarin.
Onana, 27, yang dibeli daripada Inter Milan, jauh meninggalkan gawangnya dan membolehkan penyerang Lens, Florian Sotoca mengambil kesempatan melakukan rembatan dari kawasan bulatan tengah pada minit ke-23.
Begitupun, The Red Devils bangkit memenangi perlawanan itu dengan meledak tiga gol dalam tempoh 11 minit di separuh masa kedua menerusi Marcus Rashford pada minit ke-48, Antony (m-53) dan Casemiro (m-59).
“Saya bertanggungjawab terhadap semuanya terutamanya apabila kami melepaskan gol. Saya orang penting di bahagian belakang, jadi saya mengambil setiap kritikan dan tekanan untuk menjadi lebih baik.
“Namun, saya gembira dengan keputusan akhir ini kerana ini adalah perlawanan pertama saya di laman sendiri. Jadi, ia begitu istimewa buat saya,” kata Onana.
Penjaga gol Cameroon itu merupakan salah seorang daripada tiga pemain baharu The Red Devils selepas Mason Mount (Chelsea) dan Rasmus Hojlund yang baru melengkapkan perpindahannya daripada Atalanta semalam.
Kehadiran Onana kembali memberikan keyakinan kepada para penyokong tegar United yang sebelum ini menyatakan kebimbangan mereka selepas David De Gea tidak melanjutkan kontraknya di Old Trafford.
Aksi persahabatan menentang Athletic Club di Dublin, Ireland semalam adalah persediaan terakhir skuad bimbingan Erik Ten Hag sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers minggu depan. – AGENSI