fbpx

Bawa pengikut ajaran Si Hulk ke muka pengadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ISU ajaran sesat dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar di Malaysia dalam keadaan membimbangkan apabila individu yang terlibat semakin berani menonjolkan diri secara terbuka.

Perkara itu boleh dilihat menerusi beberapa klip video tular di media sosial menunjukkan ramai antara mereka membuat pengakuan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah, pengikut golongan ajaran sesat tular itu yang dikenal sebagai Si Hulk seakan tidak takut dikenakan tindakan dan disifatkan seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan negara.

Difahamkan, kebanyakan vi­deo pengakuan golongan itu dibuat di luar negara, didakwa di New Zealand dan Australia.

Mereka juga didakwa cuba mendapatkan permohonan suaka daripada kerajaan negara terbabit dengan menggunakan alasan diancam rakyat Malaysia.

Tindakan golongan tersebut mempromosi ajaran itu dipercayai sebagai strategi bagi mendapatkan perlindungan dan pe­nempatan di negara berkenaan.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, kepercayaan sedemikian perlu diluruskan serta dibendung supaya tidak tersebar kerana boleh mengancam masyarakat Islam, terutama golongan muda di negara ini.

“Kita tidak dapat memastikan apa tujuan sebenar di sebalik tindakan mereka merakamkan pe­ngakuan tersebut sebelum menularkannya.

“Namun, sedia maklum bahawa dalam Islam, Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang diutuskan Allah SWT untuk me­nyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia.

“Bagaimanapun, kelebihan Nabi Muhammad SAW sebagai Sayyidul khalqi atau sebaik-baik makhluk ini tidak harus membawa kepada kepercayaan ­melampau sehingga ke tahap pemujaan seperti mempertuhankan baginda,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambah Wan Salim, siasatan terhadap individu yang terlibat dalam video tersebut harus dilakukan segera oleh pihak agama di Peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Menurutnya, sesiapa yang percaya Nabi Muhammad SAW ialah Allah SWT, sesungguhnya telah terkeluar daripada agama Islam dan menjadi murtad dan boleh dijatuhi hukuman bunuh mengikut syariat Islam.

“Mereka yang terlibat harus bertaubat. Jika berdegil untuk terus berpegang dengan ke­sesatan tersebut, maka mereka perlu dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.

Pada Ogos 2020, persidangan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 memutuskan bahawa ajaran Si Hulk sebagai sesat berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Untuk rekod, kira-kira 55 ajaran dan fahaman difatwakan sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam sejak 2004.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, antaranya Ajaran Ahmadiah atau Qadiani pada tahun 2004, Ajaran Salah Haji Kahar Haji Ahmad Jalal (2006), Tariqat Zikrullah Hassan Anak Rimau dan Ayah Pin (2007), Syiah (2015), Millah Abraham (2016) dan Hizbut Tahrir (2018) serta banyak lagi.

Justeru, isu ajaran sesat di negara ini tidak boleh dipandang ringan dan pihak berkaitan perlu mengambil tindakan atau mengheret pelaku ke mahkamah bagi memberi pengajaran, sekali gus membantutkan usaha segelintir pihak menyebarkan kefahaman yang salah di negara ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI