PETALING JAYA – Kesempitan hidup memaksa seorang lelaki mencuri mi segera dan roti untuk mengalas perut anaknya yang kelaparan di rumah.
Peguam Aminahtul Mardiah yang berkongsi kisah itu di akaun TikTok miliknya berkata, lelaki tersebut mengakui dia terpaksa berbuat sedemikian kerana anaknya sudah dua hari tidak makan.
“Kali terakhir anak dia makan nasi, dua hari lepas. Anak dia tak makan apa-apa selama dua hari.
“Dia baru sahaja diberhentikan kerja, tetapi dia ada bagitahu pemilik kedai bahawa dia akan membayar balik barang yang diambilnya,” tambahnya.
Jelasnya, lelaki tersebut juga tidak diwakili mana-mana peguam termasuk wakil daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
“Saya tawarkan diri secara probono dan dengan budi bicara mahkamah, dia hanya dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda.
Aminahtul menegaskan kepada orang ramai bahawa mencuri merupakan perbuatan yang salah dan tidak boleh dinormalisasikan, namun di dalam situasi begini mereka tiada pilihan lain.
“Kisah ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat untuk terus hidup di bawah kepompong sendiri. Hidup kita juga mestilah berteraskan niat yang betul,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE