BEIJING – Seekor kucing berjalan menggunakan dua kaki hadapannya hampir tegak ke atas menjadi tular dalam aplikasi TikTok beberapa hari lalu, lapor portal MSNEWS semalam.
Ia memetik portal berita Daily Star melaporkan, kucing tersebut berjalan dalam keadaan dua kakinya tegak ke atas ketika mencari makanan di sebuah tempat letak kereta di bandar Tengzhou, wilayah Shandong pada September 2021.
Kucing itu kemudian diberi nama Angel dan sebuah kumpulan penyelamat haiwan, MaoCha yang akhirnya menemui binatang tersebut pada 16 September 2021. Mereka meletakkannya di dalam sangkar sebelum dibawa ke hospital veterinar di mana imbasan tomografi (CT) dilakukan.
Ia mendedahkan bahawa penderaan teruk telah menyebabkan kecacatan pada kucing itu dan terdapat juga kesan melecur akibat dicucuh puntung rokok di belakang lehernya.
Jurucakap organisasi itu berkata, Angel sangat tenang semasa menjalani rawatan dan menerima ubat antiradang. Doktor telah meletakkannya di bawah pemerhatian selama beberapa hari sebelum melakukan pembedahan terhadap binatang berkenaan.
Adalah dipercayai seseorang telah menyebabkan kecederaan terhadap Angel dengan sengaja memusingkan kakinya ke belakang.
Setakat ini, tidak diketahui nasib kucing itu selepas ia menjalani pembedahan. – Agensi
.