PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat tentang seorang mantan Perdana Menteri yang membelanjakan lebih RM30 juta untuk mengubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, wang itu dibelanjakan untuk mengubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri di saat rakyat sedang bergelut dengan serangan serta ancaman Covid-19.
“Ini bukan prihatin, jauh sekali menyumbang kepada peningkatan darjat hidup rakyat. Gelombang Perpaduan mesti menang dan terus menyemarak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Media pada September 2021 melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kelulusan baik pulih Kompleks Seri Perdana diberi semasa pentadbiran beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) namun mengemukakan beberapa penjelasan kenapa kerja-kerja baik pulih terhadap bangunan berusia 20 tahun itu perlu dilakukan.
Ia termasuk sistem pendawaiannya boleh mendatangkan risiko kebakaran, kerosakan perabot dan memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara.
Terdahulu, Anwar mengingatkan rakyat Selangor supaya tidak sia-siakan undi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini dan jadikan ia sebagai medan menyelamatkan negeri daripada kerosakan daripada golongan yang tidak tahu mentadbir.
“Warga Selangor juga harus mengambil iktibar daripada setiap perkembangan pentadbiran pihak sana dan ternyata mereka gagal menyaingi rekod cemerlang negeri-negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan, kata beliau, rakyat Selangor perlu memberi mandat kepada gabungan perpaduan PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Kerajaan Selangor pimpinan saudara Amirudin Shari (Menteri Besar) telah membuktikan mereka mampu laksana amanah rakyat dengan sempurna.
“Buktinya, pelbagai inisiatif baik dapat memanfaatkan rakyat Selangor secara keseluruhannya. Ayuh kekalkan Kerajaan Perpaduan di Selangor,” katanya. – KOSMO! ONLINE