TAIPING – Dua orang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penderaan hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun di Taman Panglima, Assam Kumbang di sini dilanjutkan tempoh remannya selama enam hari lagi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya telah membuat permohonan reman ke atas kedua suspek hari ini.
“Kita telah mendapat keputusan untuk sambung reman selama enam hari mulai esok hingga 12 Ogos nanti.
“Ia adalah bertujuan untuk meneruskan siasatan dengan lebih terperinci dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pendakwa raya dalam masa yang terdekat,” katanya hari ini.
Terdahulu, polis telah menahan seorang wanita dan teman lelakinya berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki pada 30 Julai lalu.
Wanita berusia 36 tahun itu merupakan ibu kandung mangsa yang tinggal bersama teman lelakinya di tempat lokasi kejadian dan dalam proses bercerai dengan suaminya. – KOSMO! ONLINE