fbpx

Suami isteri, anak lima tahun mangsa nahas kereta dihempap pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Nissan Sentra dinaiki tiga beranak yang dihempap pokok besar di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kok Lanas semalam.

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri dan anak perempuan berusia lima tahun disahkan maut dalam kejadian dua buah kereta yang dihempap di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kok Lanas di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Nik Mohd. Zulmi Ramli, 44, bersama isteri, Nik Amirah Ab. Rahman, 40, dan anak mereka, Nik Aishah Azzahra, 5 meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kereta jenis Nissan Sentra.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati, dua buah kereta iaitu kereta jenis Nissan Sentra dan Honda City dihempap pokok.

Menurutnya, cuaca di lokasi kejadian ketika itu hujan lebat dan ribut.

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.

“Kesemua mangsa yang dikeluarkan oleh anggota JBPM dari kereta jenis Nissan Sentra itu kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan,” katanya.

Rosdi memberitahu, mayat ketiga-tiga beranak itu dihantar ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu dan penumpang kereta jenis Honda City yang turut dihempap pokok dalam kejadian itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan, tiga beranak maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok semasa melalui laluan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kok Lanas.

Kejadian berhampiran Kem Desa Pahlawan itu berlaku kira-kira pukul 8.00 malam semasa kereta jenis Nissan Sentra yang dinaiki keluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Machang ke Kota Bharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI