PETALING JAYA – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengimbau kenangan beliau suatu ketika dulu menoreh getah bagi membantu keluarganya.
Ahmd berkata, selaku anak penoreh getah, pokok getah sentiasa memberi nostalgia dalam jiwa yang sangat mengesankan kepada dirinya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pontian itu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana sentiasa ingat kepada nasib penoreh getah.
“Saya juga pernah menoreh membantu arwah ayah dan arwah emak, kelibat pokok getah di mana juga saya ternampak sentiasa memberi nostalgia.
“Terima kasih Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani yang sentiasa ingat kepada golongan susah penoreh,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Beliau turut berkongsi keratan akhbar bertajuk “Pekebun kecil getah terus terima insentif” dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran berasingan, Ahmad mengucapkan tahniah terhadap manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang dan Kelantan pada 12 Ogos ini..
“Jentera sepadu terus bergerak utk membantu calon. Kerajaan Perpaduan yang mendokong kemajmukan negara.
“Sabah dan Sarawak sentiasa bersama dalam perjuangan Malaysia Madani dengan negeri-negeri yang lain. Terpenting rakyat jadi keutamaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE