SEPANG – “Dia (Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor) boleh ‘claim’ (dakwa), tapi itu fitnah,” kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung naratif terbaharu di bawa pembangkang berhubung isu pelaburan RM25 bilion di Kulim, Kedah.
Fahmi berkata, semua pihak perlu memahami bahawa Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan kenyataan dibuat Muhammad Sanusi jelas satu fitnah dan ia harus diperbetulkan.
“Saya ingin jelaskan bahawa pelaburan RM25 bilion oleh firma Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) itu dibuat oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Dalam urusan tanah ia membabitkan kerajaan negeri tapi pelaburan yang masuk itu di bawah kerajaan pusat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Madani Peringkat Zon Selatan Negeri Selangor 2023, di sini hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata, beliau juga mahu rakyat Kelantan tidak keliru dengan kenyataan dibuat Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung isu air di Kelantan.
Menurutnya, kenyataan Nik Zawawi bahawa air di bawah kerajaan pusat juga adalah satu fitnah kerana urusan air adalah di bawah pengurusan negeri.
“Saya rasa beliau kena teliti balik dan bincang balik dengan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung perkara itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE