KUALA NERANG – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memberitahu beliau tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan ditangkap dalam tempoh terdekat.
Katanya, beliau juga tidak boleh menjawab persoalan itu kerana ia di bawah bidang kuasa polis yang melakukan siasatan.
“Apakah ada kemungkinan? (Sanusi ditahan) saya tidak boleh jawab bagi pihak itu sebab penguat kuasa polis,” katanya yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) pada sidang akhbar khas di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka, dekat sini hari ini.
Saifuddin turut meminta sebuah media tempatan yang didakwa melaporkan berita palsu kononnya Muhammad Sanusi ditahan polis sekali lagi pada semalam agar lebih berhati-hati dalam membuat laporan.
“Itu seriuslah sebenarnya, saya pun tak ada maklumat sehingga saya baca kenyataan polis iaitu yang pertama minta Astro (Awani) minta maaf, yang kedua tarik balik (laporan berita).
“Ia tidak bagus dalam suasana kita bertarung macam ini kita bawa elemen macam yang tak pasti, itu tak bagus,” ujarnya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan pada semalam menafikan laporan berita menyatakan Muhammad Sanusi ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan pada semalam. – KOSMO! ONLINE