BERASAKAN ada pihak sengaja cuba mencalarkan imejnya, pelakon remaja, Qistina Raisah enggan lagi membiarkan dirinya menjadi mangsa fitnah sehingga membuka ruang dikecam masyarakat.
Bintang filem Rahsia itu bertindak membuat laporan polis bukan saja demi membersihkan nama, malah supaya tiada pihak lain lagi yang berani mempergunakan kenyataannya demi ‘rating’.
“Saya tidak suka cari pasal dengan sesiapa pun. Tindakan ini pun diambil selepas berbincang dengan ibu merangkap pengurus saya. Harap semua faham,” katanya berkenaan laporan berkenaan.
Dalam satu wawancara sebelum ini, Qistina mengakui teringin meraih anugerah sebagai pengiktirafan kerja seninya, tetapi yakin fasa tersebut belum hadir selain reda dengan acuan rezekinya kini.
Dalam temu bual tersebut, aktres berusia 15 tahun yang berlakon sejak kecil itu turut dilaporkan meminta golongan pelakon pemenang anugerah tidak memandang hina pelakon lain.
Susulan sebuah portal memuat naik kenyataan tersebut dalam Instagram, Bell Ngasri yang dijulang sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) 2023 membalas di ruangan komen.
Komen yang sebenarnya sekadar gurauan pelawak terbabit meraih perhatian ramai bagaimanapun mengundang kecaman apabila rata-rata netizen mula membidas kenyataan aktres remaja terbabit dengan meninggalkan kata-kata menyakitkan.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Qistina Raisah Mohd Kamarul Azri itu, mereka juga sudah menghubungi aktor senior terbabit bagi menjelaskan keadaan apatah lagi wawancara berlangsung sebelum ABP diadakan.
“Saya kecewa apabila difitnah berdengki dengan kejayaan pelakon lain. Itu semua tuduhan.
“Cara penulisan dibuat seperti saya seorang individu teruk. Mujur abang Bell pun faham dan tinggalkan komen sekadar bergurau. Orang salah faham,” katanya.
Sementara itu, ibu merangkap pengurusnya, Roszana Aminuddin berkata tindakan tegas diambil selepas satu persatu kenyataan Qistina disalah tafsir yang mencetuskan tanggapan negatif orang ramai.
“Sebelum ini isu tak sekolah dinaikkan, sedangkan dia tetap mengikuti pembelajaran secara ‘home school’ bawah bimbingan cikgu dengan mengikuti silibus lengkap.
“Sebagai ibu merangkap pengurus, saya perlu memperjelaskan keadaan sebenar tambahan ini berkaitan integriti dan kredibiliti.
“Jika tengok semula wawancara itu di YouTube, Qistina jawab ikhlas dan tiada pula ditujukan kepada sesiapa, tetapi daripada tajuk dipaparkan seolah-olah anak saya nampak jahat.
“Susulan itu, ramai lemparkan kecaman tanpa usul periksa hingga membuatkannya tertekan dan kerap menangis. Dia baharu 15 tahun, tetapi dibuli begini,” luahnya menzahirkan rasa terkilan.