ALOR SETAR – Projek rintis konsep sekolah baharu untuk golongan paling miskin di negara ini seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dijangka dilaksanakan seawal tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sedang berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan hasrat tersebut.
Kata beliau, pelaksanaan sekolah itu akan melibatkan mekanisme khusus untuk memastikannya benar-benar berjaya.
“Kita akan sedaya upaya pastikan menjelang tahun depan sudah dibuka. Kita akan mulakan dengan projek rintis sebelum mengembangkannya lagi selepas itu.
“Disebabkan sekolah ini merupakan program khas, mesti ada hala tuju, kaedah dan mekanisme jelas untuk memastikannya benar-benar berjaya. Apabila disebut sebagai khusus untuk anak miskin, pendekatannya juga pasti ada sedikit berbeza dalam usaha menjayakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Semalam Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini.
Menurut Anwar, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh bagi membolehkan golongan terbabit berpeluang mendapat akses pendidikan walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan. – KOSMO! ONLINE