SEBERANG PERAI – Isu provokasi yang timbul ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Permatang Pasir, baru-baru ini lahir daripada fahaman takfiri iaitu mengkafir dan menyesatkan kumpulan yang tidak sealiran dari segi pemikiran dengan pihak tertentu yang dibawa Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil mendakwa, fahaman tersebut bagaimanapun tidak wujud dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada masa ini.
“Dalam hal ini, kita hanya bersikap ‘cool’ (tenang) dan tidak melayan apa-apa provokasi yang mereka timbulkan.
“Kita ada pihak berkuasa untuk menyelesaikan apa-apa isu. Jadi, biar ‘depa’ (mereka) ambil tindakan yang sewajarnya. Kita ‘maintain’ (kekal) macam biasa. Tidak ada reaksi balas,” katanya kepada Kosmo!, kelmarin.
Kerusi Permatang Pasir antara kerusi DUN di Pulau Pinang yang dilaporkan ‘tidak sunyi’ daripada isu provokasi selepas aktiviti memacak dan memasang tiang bendera antara PH-BN dan PN terutamanya Pas di situ bertukar menjadi ‘perang mulut’ hingga mencetuskan pergaduhan.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz, 46, yang juga penyandang kerusi itu berkata, penerimaan pengundi di Permatang Pasir terhadap kerjasama PH-BN ketika ini cukup baik dan memberangsangkan.
“Tidak ada isu besar yang dibangkitkan kerana kita (PH) bergerak sekali dengan jentera UMNO dan BN. Insya-Allah, masyarakat akan lebih faham dan akan keluar mengundi untuk memilih sebuah kerajaan yang baik,” kata Ahli majlis Pimpinan Parti Amanah Negera (Amanah) itu.
Jelas beliau, dalam tempoh sepenggal menjadi wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini, banyak isu-isu setempat telah berjaya diselesaikan selain pembinaan dewan besar bernilai RM3.2 juta serta longkang-longkang baharu untuk menangani isu banjir kilat dan sebagainya.
Tambahnya, ketika ini, satu projek tebatan banjir dengan bantuan kerajaan negeri yang dianggarkan bernilai kira-kira RM13.2 juta di sekitar Permatang Rawa sedang dijalankan dan kesemua projek infrastruktur awam ini mendapat sokongan yang baik daripada semua pihak. – KOSMO! ONLINE