SAMBUTAN hari lahir ke-68 lelaki bernama Gerrit Marshall menjadi lebih bermakna apabila dia dinobatkan sebagai pemenang pertandingan memiliki rupa seperti sasterawan terkenal, Ernest
Hemingway di Key West, Florida, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Kemenangan tersebut memberi gelaran ‘papa’ kepada Mashall yang turut membawa pulang trofi Hemingway.
Pesara jurutera penyiaran televisyen itu berjaya mengatasi lebih kurang 140 peserta lain dalam pertandingan setelah menempuhi dua pusingan awal dan satu pusingan akhir.
Lebih mengagumkan, ia merupakan penyertaan ke-11 Marshall dalam pertandingan tersebut, namun nasib tidak menyebelahinya sebelum ini.
Marshall berkata, dia juga berkongsi beberapa ciri lain dengan Hemingway iaitu gemar menulis cerita bukan fiksyen dan fiksyen pendek.
“Seperti Hemingway, saya suka aktiviti luar seperti memancing. Saya sering memancing di perairan Wisconsin dan di Florida Keys.
“Tetapi saya tidak dapat menyamai rekod empat isteri Hemingway. Seorang isteri sudah cukup buat saya,” katanya dalam nada gurau.
Pertandingan memiliki rupa Hemingway (Hemingway Lookalike) merupakan acara kemuncak pada sambutan tahunan Hari Hemingway yang diadakan di kawasan tersebut.
Sebagai rekod, peraduan tersebut telah diadakan setiap tahun sejak 1981.
Ia dianjurkan di salah satu tempat kegemaran Hemingway iaitu bar Sloppy Joe.
Pada asalnya, pertandingan dilakukan sebagai acara keraian kecil-kecilan dengan penglibatan ahli keluarga Hemingway sebagai juri.
Namun saban tahun, acara keraian tersebut menjadi semakin besar dan meriah sehingga menarik perhatian orang luar termasuk dari Brazil dan Kazakhstan.
Pada setiap Julai, lebih 150 lelaki berbadan tegap, berjanggut putih dan berperwatakan ceria datang ke Key West untuk mencuba nasib dengan menggayakan pesona Hemingway.
Kini, penilaian dilakukan oleh panel-panel juri yang juga merupakan bekas pemenang pertandingan edisi-edisi lalu.
Menurut salah seorang peserta, Tim Stockwell, biarpun pertandingan itu sengit, namun dia tetap gembira dapat menyertai acara tersebut pada setiap tahun.
“Untuk mara ke pentas akhir, saya memerlukan beberapa tahun. Tidak termasuk lagi untuk tergolong dalam kelompok lima teratas, sememangnya memakan masa.
“Namun, perkara paling berharga adalah persahabatan jangka panjang yang terjalin antara kami,” ujarnya.
Selain daripada pertandingan muka serupa, acara lain yang diadakan adalah bersaing dalam gusti lengan dan memancing.
Pertandingan itu juga dilakukan untuk mengumpul dana biasiswa kepada pelajar-pelajar di kawasan berkenaan.
Presiden Hemingway Look-Alike Society, David Douglas menganggarkan bahawa hasil kutipan derma pada festival tahun itu mencecah hampir AS$125,000 (RM569,312).
Sambutan Hari Hemingway dianjurkan sebagai penghormatan kepada sasterawan yang menulis karya klasik seperti For Whom the Bell Tolls dan To Have and Have Not.
Sasterawan itu pernah menetap di sebuah kediaman penjajah Sepanyol di Key West dari tahun 1931 hingga akhir 1939.