fbpx

Perisai Komuniti: Arsenal pertaruh strategi terbaik raih trofi sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GABUNGAN pemain lama dan muka baharu bakal memberikan kelebihan buat Arsenal untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap. - FB ARSENAL

LONDON – Arsenal mempunyai strategi tersendiri walaupun turun tanpa Gabriel Jesus dalam usaha menewaskan juara trebel, Manchester City menjelang aksi Piala Perisai Komuniti di Stadium Wembley malam ini.

Jesus terpaksa diketepikan untuk tempoh beberapa bulan disebabkan kecederaan lutut sehingga perlu menjalani pembedahan sekali gus menggambarkan kelemahan The Gunners di bahagian serangan.

Namun, pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempunyai alternatif apabila dikatakan bersedia menurunkan pembelian baharu daripada Chelsea, Kai Havertz sebagai penyerang utama di posisi No. 9 pasukan itu.

Ia sesuatu yang berbeza daripada Arteta, 41, kerana Havertz beraksi selaku pemain tengah berbanding Eddie Nketiah dan Leandro Trossard sepanjang kempen pramusim mereka di Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Benar Havertz bermain sebagai pemain tengah menyerang. Kami sentiasa memberi maklumat terbaharu kepada mereka yang bersedia untuk diturunkan di mana-mana posisi sekalipun.

“Ia bukan sesuatu yang baharu kerana saya meletakkan Jurrien (Timber) di pelbagai posisi sejak dia tiba di sini. Dia sudah bermain sebagai pertahanan kanan, kiri dan juga tengah,” kata Arteta.

Kehadiran Havertz, Timber dan Declan Rice menghadirkan keyakinan baharu buat The Gunners untuk menewaskan City dalam misi menebus kekecewaan terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris kepada lawan itu musim lalu.

Kini, bekas pembantu kepada Pep Guardiola di City dari 2016 hingga 2019 itu bertekad untuk menghadirkan gelaran kepada Arsenal selepas berjaya membantu kelab itu kembali ke Liga Juara-Juara sejak kempen 2016/2017.

“Sangat teruja dapat bermain perlawanan akhir untuk memenangi trofi, lebih-lebih lagi apabila kami menentang pasukan yang perlu ditewaskan.

“Inilah yang kami mahukan (era baharu Arsenal), berjuang untuk setiap trofi. Kami perlu membuktikannya. Apa yang kami lakukan tahun lalu tidak mencukupi untuk memenangi trofi dan kami perlu menjadi lebih baik.

“Kami perlu mencuba dan mengekalkan tahap dan memperbaikinya untuk mereka (para peminat),” jelas Arteta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI