LONDON – Pelumba utama pasukan Repsol Honda, Marq Marquez mengambil keputusan untuk menggunakan pelarasan jentera lama menjelang Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone malam ini.
Menurut Marquez, spesifikasi jentera yang digunakan pada perlumbaan MotoGP kali ini adalah yang sama seperti yang ditunggang ketika permulaan musim di GP Portugal di Litar Portimao.
“Kita sudah ada asas yang bagus pada awal musim ini dan saya harap jentera yang sama dapat memberikan tuah pada perlumbaan GP minggu ini.
“Berdasarkan sesi ujian bebas yang kita harungi, petanda yang baik dapat dilihat dengan jentera bergerak lancar dan pantas tanpa sebarang masalah.
“Cuma, saya masih perlu berwaspada dan tidak terlalu memaksa jentera sekiranya berhasrat untuk menamatkan saingan di kedudukan positif nanti.
“Apa yang pasti, keputusan untuk kekal gunakan jentera pada GP Portugal dibuat selepas analisa yang dilakukan pasukan kerana kita telah buat beberapa perubahan, tetapi masalah yang sama masih berulang,” kata bekas juara dunia kelahiran Sepanyol itu.
Saingan MotoGP kembali menghangatkan arena sukan permotoran antarabangsa selepas berehat lebih sebulan kerana berikan cuti musim panas buat pelumba dan pasukan selepas mengharungi lapan perlumbaan musim ini. – AGENSI