KUALA LANGAT- Kebajikan pekebun kecil sawit di negara ini sentiasa terbela menerusi pelbagai skim bantuan dari masa ke semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penyaluran bantuan itu dilakukan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran sawit, pendapatan serta taraf hidup pekebun kecil sawit.
Katanya, antara bantuannya seperti Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) serta Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe).
“Skim ITe contohnya bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian.Sehingga 30 Jun 2023, sebanyak 25 projek integrasi ternakan telah dilaksanakan.
“Ia terdiri daripada 23 projek ternakan ayam dan dua projek ternakan itik di negeri Selangor,” katanya kepada pemberita pada Program Sembang Santai Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Pekebun Kecil Sawit Selangor di Pusat Kraftangan Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri KPK memberitahu, Skim ITa pula diwujudkan dengan objektif untuk meningkatkan pendapatan golongan pekebun melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum.
“Program integrasi tersebut melibatkan tanaman kontan pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas. MPOB telah menambah baik skim ini dengan memperkenalkan dua lagi jenis tanaman iaitu serai dan cendawan. Sehingga hari ini, sebanyak tujuh projek telah dilaksanakan di negeri Selangor,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung, setakat Jun lalu .
“Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat dua buah KPSM ditubuhkan di negeri Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad. Justeru, saya menggesa agar pekebun kecil di Selangor supaya menyertai KPSM yang memberikan pelbagai faedah termasuk pembelian baja lebih murah secara pukal,” katanya. – KOSMO! ONLINE