fbpx

Dua minggu buat persiapan, tukang masak lega dapat sediakan santapan untuk TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU ISMAIL menyantuni Muhammad Fairuz yang mempersembahkan masakan menu Ikan Lais Tempoyak ketika rombongan KMJ 2023 singgah di Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang tukang masak meluahkan perasaan lega selepas dapat menyediakan santapan serta persiapan demontrasi masakan tempoyak untuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semasa Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23 singgah di Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut, di sini hari ini.

Muhammad Fairuz A. Rahman, 40, berkata, dia mengambil masa dua minggu untuk melakukan persiapan berkenaan bagi dipersembahkan kepada Tunku Ismail yang mengetuai konvoi Diraja tahun ini.

Katanya, dia yang mengusahakan kedai makan Pit Stop Sungai Kahang, ‘menu istimewa’ yang dihidangkan serta acara demontrasi masakan yang sinonim dengan kawasan Kahang di Kluang adalah ‘Ikan Lais Tempoyak’.

“Sebelum ini bermacam-macam perasaan muncul di hati saya, berdebar ada, takut ada tetapi bila TMJ sudah merasai masakan dan memberikan respon yang positif akhirnya saya berasa lega dan bersyukur.

“Sepanjang 20 tahun saya membuka kedai makan, inilah kali pertama masakan saya dirasai oleh kerabat Diraja Johor, lebih-lebih lagi TMJ,” katanya ketika ditemui pemberita ketika hari kedua KMJ 2023, di sini hari ini.

Selain menikmati dan melakukan demontrasi masakan tempoyak Tunku Ismail turut menanam anak pokok meranti sebagai simbolik KMJ tiba di lokasi berkenaan.

Baginda juga berkenan bergambar bersama pemain pasukan paintball yang terdiri daripada Southern Volunteers Simpang Renggam dan Kluang, serta mencuba sendiri permainan tersebut.

Tunku Ismail sempat bermesra dengan penduduk tempatan Kampung Sri Lukut dan Kampung Contoh dengan menyaksikan sukan air dan pertandingan tarik tali, sebelum menyaksikan khemah survival tent.

Sementara itu, adinda baginda Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah menyertai rakyat bermain permainan blok jengga gergasi.

Pada KMJ kali ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat julung kalinya memimpin jelajah yang akan merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer yang bermula pada 5 hingga 8 Ogos 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI