PETALING JAYA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi mengulangi permohonannya kepada Pas supaya mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan ahli-ahli Pas berhubung isu kafir-mengkafir.
Menurut beliau, pemimpin tertinggi seperti Ketua Dewan Ulama Pas, Pesuruhjaya Pas Negeri dan Ketua Pemuda Pas sendiri mengeluarkan pelbagai fatwa mengelirukan mengenai perkara itu yang menyebabkan ahli Pas terpengaruh.
“Sekali lagi saya memohon sebagai saudara seIslam agar kepimpinan PAS mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan ahli-ahli di bawah tidak jatuh kafir atau rosak akidah seseorang apabila mengundi mana-mana parti dalam pilihan raya kali ini.
“Ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan dan perbalahan yang membawa kepada kafir-mengkafir sehingga meleraikan ikatan ukhuwwah Islamiah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, berbeza parti hanyalah dari segi ijtihad dan pendekatan politik, bukan perbezaan aqidah dan pegangan agama seseorang.
Beliau dalam hantaran sama memuat naik rakaman video ceramah beberapa pemimpin Pas antara lain mendakwa hukum menjatuhkan kerajaan hari ini adalah wajib di sisi Islam.
Begitu juga dakwaan Ahli Sunnah Wal Jamaah mesti bersama Pas dan sesiapa tidak mengundi Perikatan Nasional (PRN), tetapi mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), masuk neraka. – KOSMO! ONLINE