BATU PAHAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok putih bernilai RM117,920 dipercayai dari Indonesia di perairan Batu Pahat dekat sini petang kelmarin.
Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, rampasan pelbagai jenis rokok kretek sebanyak 102,400 batang itu dilakukan pada pukul 4.30 petang menerusi Op Jaksa dan Op Tiris.
Katanya, kejayaan bermula apabila bot ronda maritim mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran berada dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 0.35 batu nautika tenggara pantai Parit Haji Salam.
“Susulan itu, bot berkenaan dihampiri untuk melakukan pemeriksaan namun tidak mempunyai tekong atau awak-awak didalamnya. Siasatan mendapati bot berkenaan sudah ditinggalkan oleh penyeludup selepas kehadiran mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati penyeludup terbabit cuba membawa masuk 13 kotak besar rokok yang disyaki tidak bercukai untuk dijual secara haram dalam negara ini.
Katanya, bot beserta sebuah enjin jenama Yamaha 40 kuasa kuda dan kesemua rokok yang dirampas ditunda ke Zon Maritim Batu Pahat dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM117,920. – KOSMO! ONLINE