HULU SELANGOR – Tiga pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serendah, di sini, dilaporkan melarikan diri setelah selesai solat Subuh semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan daripada penyelia pegawai bertugas berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 6.45 pagi.
Katanya, dua pelatih dari Asrama Al-Azim manakala seorang lagi pelatih dari Asrama Al-Hamzah dikesan hilang apabila didapati tiada dalam barisan dan dipercayai meninggalkan pusat tanpa kebenaran ketua institusi.
“Hasil siasatan polis mendapati pelatih yang melarikan diri ini merupakan warga tempatan berusia 44 hingga 53 tahun yang sedang menjalani pemulihan dadah di pusat berkenaan.
“Pelatih ini dipercayai melarikan diri sebaik sahaja selepas selesai solat subuh dan disyaki memanjat tiang pagar ‘anti climb’ yang disandarkan pada pagar berkawat.
“Kita senarai hitam pelatih tersebut sehingga tangkapan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan dibawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tampil dengan segera ke mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian.
“Sebarang maklumat pertanyaan boleh menghubungi terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Zulaikha Mohamed di talian 03-60641222,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE