SEPANG – Atlet wusyu negara, Tammy Tan Hui Ling tidak terkilan dan memandang daripada sudut positif selepas namanya tidak tersenarai menghadapi Sukan Asia Hangzhou di China bulan depan.
Tammy, 22, berpandangan dia masih perlu meningkatkan persembahannya walaupun berjaya mengharumkan nama Malaysia meraih pingat emas Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu dalam acara Qiangshu baru-baru ini.
Kejayaannya di Gimnasium Chengbei itu cukup bersejarah kerana ia menamatkan kemarau 38 tahun Malaysia meraih pingat emas pertama di pentas Universiade.
“Saya bersyukur kerana dapat membanggakan Malaysia. Usaha saya ini tidak akan berhasil tanpa Persatuan Wusyu Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Walaupun saya tak layak ke Sukan Asia tahun ini tetapi saya akan terus bekerja keras meningkatkan keupayaan dan kemahiran diri agar saya dapat bersedia menghadapi kejohanan seterusnya.
“Saya akan terus berikan yang terbaik dalam persembahan sekiranya diberikan peluang mewakili negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini.
Selain pingat emas dimenangi Tammy, skuad wusyu negara turut berjaya membawa pulang tiga lagi gangsa menerusi kejayaan Mandy Cebelle Chen (Taijiquan), Calvin Lee (Nangun) dan Ang Qi Yue (Daoshu).
Tidak mustahil Tammy, Mandy dan dua lagi pemenang pingat itu mampu menjadi prospek terbaik negara pada Sukan SEA Thailand 2025 nanti.
Ketibaan skuad wusyu negara di KLIA2 hari ini turut disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt. – KOSMO! ONLINE